Ahad, 30 Disember 2012

Mereka amat mengharapkan syurga dan takutkan azab api neraka.

THANKS FOR SHARING....ABG FAISAL MANSOR...DI ATAS SGALA ILMU .....


Dizaman milenia ini manusia sentiasa sibuk dengan mengejar keduniaan. Siang malam bekerja untuk menambahkan wang ringgit serta aset yang lain. Masa untuk amal ibadah amat sedikit dan terhad. Setiap hari asyik fikir dunia dan dunia, bagaimana hendak menjadi kaya dan lebih dari orang lain. Solat apabila ada masa terluang dan jarang sekali berjemaah. Kalau seminggu sekali hendak luangkan masa dalam majlis zikrullah pun payah. Apatah lagi kalau diminta untuk pergi berjihad jauh sekali. Hidup tidak pernah rasa cukup walaupun kehidupan dan kemewahan melimpah ruah, yang diberi dijalan Allah sedikit sekali jika disbanding dengan rezeki yang Allah telah beri.

Namun demikian tahukah anda, ada golongan manusia yang hidup mereka begitu sederhana dan banyak dihabiskan untuk agama dan mencari keredhaan Allah SWT. Hidup mereka begitu simple dan tidak terlalu mengejar dunia, mereka sentiasa merasa cukup dengan apa yang ada dan matlamat hidup mereka hanyalah menegakkan agama dalam diri mereka dan juga agar agama tersebar seluruh alam. Aku tidak termasuk dalam golongan itu, satu perkara yang belum mampu aku lakukan. Mari kita lihat dan contohi apakah amalan mereka yang istiqamah dan sudah menghampiri 10 atau 20 tahun mereka tidak pernah meninggalkannya.

Sudah bertahun mereka tidak pernah meninggalkan solat berjemaah 5 waktu. Bagi mereka solat dengan berjemaah adalah amat penting dalam hidup mereka kerana ia adalah satu Sunnah Baginda SAW yang tidak boleh ditinggalkan. Mereka telah mewajibkan solat berjemaah 5 waktu kepada diri mereka. Mereka sentiasa menunggu-nunggu ketibaan waktu solat dan bersegera untuk kemasjid. Kalau mereka terlambat sedikit atau kelewatan maka mereka akan bersedih dan kalau tertinggal maka mereka pasti akan menangis seolah kehilangan seluruh harta dan keluarga mereka.

Sudah bertahun mereka tidak pernah tidur selepas solat Subuh. Sehabis solat Subuh mereka akan tilawah Al-Quran sebanyak satu juzuk setiap hari. Jadi setiap bulan mereka akan khatam seluruh Al-Quran. Kemudian apabila matahari sudah terbit mereka akan tunaikan Solat Isyrak sebanyak 4 rakaat. Kemudian baru mereka keluar dari rumah untuk mencari rezeki dan melakukan pekerjaan sebagaimana orang lain buat. Dalam mereka bekerja pun mereka tidak pernah ketinggalan Solat Dhuha.

Zikir harian tidak pernah ditinggalkan selama puluhan tahun semenjak mereka berubah dan berhijrah menjadi taat kepada Allah. Setiap pagi dan setiap petang pasti 300 zikir akan dihabiskan dan ini adalah yang paling minima. Tasbihat Subhanallah walhamdulillah Walailahaillallah Wallahuakbar 100x, Selawat keatas Nabi Muhammad SAW 100x dan Istighfar 100x tidak pernah ditinggalkan. Zikir itu kemudian ditambah dengan zikir setiap masa dan ketika didalam hati mereka dan juga doa harian setiap perbuatan yang dilakukan.

Setiap hari mereka akan berada didalam masjid diantara waktu Maghrib dan Isya. Mereka tidak pernah balik rumah dalam masa itu. Waktu itu dihabiskan untuk aktiviti keagamaan seperti amalan dakwah dan ziarah, kuliah agama ataupun amalan lain seperti zikir dan tilawah Al-Quran. Hati mereka sentiasa terpaut kepada masjid dan rumah Allah dan mereka merasa tenang apabila berada didalam masjid. Setiap kali memandu atau menaiki kenderaan awam, apabila terlihat masjid mereka akan berselawat dan rasa tenang melihat bumbung atau kubah masjid, seperti seorang kekasih yang tidak dapat bertemu dengan kekasihnya tetapi hanya sekadar dapat melihat bumbung rumah kekasihnya pun sudah mencukupi.

Setiap malam meraka akan bangun ketika orang lain nyenyak tidur. Waktu itu mereka akan tunaikan Solat Tahajud, Solat Hajat dan Solat Tasbih kemudian mereka akan menangis dan berdoa kepada Allah SWT dengan penuh tawajuh. Doa agar Allah ampunkan dosa mereka yang lampau dan akan datang. Doa agar Allah kekalkan iman dan hidayah kepada mereka. Doa agar Allah matikan mereka dalam kalimah Laailaha illallah. Doa kepada orang sekeliling mereka agar mereka juga mendapat hidayah dan dalam perlindungan Allah setiap masa. Mereka menjadi seperti seorang anak kecil, menangis, merintih dan mengadu kepada Allah sehingga airmata berlinangan tanpa henti membasahi janggut mereka. Seolah-oleh mereka telah melakukan satu dosa besar yang menyebabkan kemurkaan Allah SWT.

Yang paling utama adalah mereka sentiasa bersedia untuk keluar berjihad dijalan Allah atas maksud agama. Bagi mereka agama adalah maksud hidup dan pekerjaan yang paling utama. Dakwah adalah kerja nombor satu. Kerja dunia terkadang perlu ditinggalkan buat sementara kerana agama lebih penting dari segalanya. Agama juga lebih penting dari keluarga, isteri dan anak-anak. Cinta kepada Allah dan Rasul melebihi dan mengatasi segala apa yang mereka miliki. Apabila ada takaza dan keperluan agama bagi membantu saudara se-Islam mereka pasti bersedia setiap masa.

Keperluan mereka tidak banyak, hutang juga tidak banyak, mungkin tidak ada langsung kerana sudah habis dibayar. Mereka tidak perlukan hiburan dunia kerana cukup dengan berzikir hati mereka menjadi tenang. Mereka sentiasa dahagakan ilmu agama dan berusaha memperbaiki diri mereka kerana merasakan iman dan amal mereka belum sempurna. Mereka menganggap diri mereka paling hina dan orang lain lebih baik dari mereka. Mereka tidak pernah mencaci atau menceritakan keaiban orang lain, kerana lidah mereka sentiasa sibuk mengajak manusia kepada kehebatan Allah SWT. Mereka tidak mahukan kuasa dan pangkat atau kerajaan kerana dunia bukan maksud hidup mereka, apa yang mereka buat adalah untuk menyukakan Allah semata-mata mengharapkan keredhaanNya. Mereka amat mengharapkan syurga dan takutkan azab api neraka.








Apabila mereka mati, tidak ramai yang menziarahi mereka kerana mereka bukanlah terkenal dimata manusia. Mati mereka amat mudah seperti bayi yang sedang tidur dengan wajah yang berseri-seri. Bagaikan seorang kekasih yang sudah menemui kekasihnya, penuh dengan kegirangan dan senyuman sentiasa bermain dibibir. Tidak banyak harta yang mereka tinggalkan kerana banyak yang dihabiskan dijalan Allah. Orang yang mereka tinggalkan pula redha dengan pemergian mereka kerana sepanjang hidup mereka sentiasa berbuat kebaikan dan tidak pernah menyakiti orang lain. Bertuahnya mereka jika mendapat Syurga Firdaus. Semoga Allah SWT beri aku dan kita taufiq untuk berusaha menjadi seperti mereka yang sudah berjaya. Allahumma Aamin.

Tiada ulasan: