Ahad, 30 Disember 2012

Cinta dan redha Allah – itulah kemuncak kepada segala ganjaran dan kenikmatan hakiki untuk mereka yang beriman dan bertaqwa.

Cinta adalah satu perasaan yang datang tanpa dipaksa. Perasaan yang paling indah yang dikurniakan oleh Allah swt keatas hamba-hambanya. Cinta buat kita leka dan tenggelam dalam asyik dan mahsyuk sehingga kita sanggup lakukan apa sahaja agar dapat menyukakan hati yang dicintai.

Cinta memutikkan rasa kerinduan untuk bertemu dengan kekasih dan perpisahan adalah satu penyiksaan dalam istilah ataupun kamus cinta. Dari mata dan turun kehati – panahan asmara, rindu dendam menyebabkab jiwa menjadi gelisah sehingga kita sering tersebut nama yang dicintai dan sering termimpi didalam tidur.

Cinta membuat kita sanggup berkorban jiwa dan raga atas dasar ingin memiliki hati yang dicintai. Cinta juga memerlukan pengorbanan diri, harta dan masa agar perasaan itu terus mekar bersemi bagaikan daun yang dibasahi embun pagi. Cinta buat kita sanggup memberi dari menerima, berkorban tanpa dipaksa, menangis, tersenyum dan ketawa bersama. Suka dan duka diharungi bersama.

Cinta menyebabkan rasa cemburu. Kita tidak sanggup berkongsi kasih. Tidak mahu yang dicintai berubah kasih kepada yang lain. Hatinya hanya untuk kita. Kalau ada yang cuba memenangi hatinya kita sanggup buat apa sahaja. Berbagai istilah dan peribahasa yang terukir dek asyik memikirkan tentang cinta.- Makan tak lalu, tidur tak lena dan mandi tak basah antara yang dinukilkan.

Kalau cinta kita tidak berbalas kita akan kecewa, luluh dan hancur hati kita kerana bertepuk sebelah tangan. Kita akan terus mencuba dan tidak akan berputus asa demi mencari cinta dari yang dicintai. Mungkin orang akan menganggap yang kita sudah gila atau tidak waras namun hanya kita yang mengetahui betapa siksanya hati apabila dilamun cinta.

Namun, apakah maksud cinta yang abadi? Apakah maksud cinta yang hakiki?

Disyurga nanti kita akan menikmati segalanya daripada Allah swt – segala pancaindera kita akan dilayan dan dihiburkan oleh Allah swt bagi mereka yang beriman dan beramal soleh semasa didunia. Syurga adalah tempat bagi orang yang bertaqwa yang hidup didunia dengan mentaati Allah swt dan tidak menurut hawa nafsu semata-mata. Hanya mereka yang mendapat cinta Allah sahaja yang akan memasuki Syurga Allah swt.

Istana dan mahligai dari permata, emas dan perak. Tanah dan lantai dari kasturi dan zabarjad. Batu kerikil dari mutiara dan delima. Sungai-sungai dari arak, susu dan madu. Bidadari-bidadari yang cantik jelita. Pelayan-pelayan syurga dari kalangan anak remaja yang rupawan. Makanan dan minuman yang beraneka jenis mengikut selera dan niat masing-masing akan pasti terkabul. Zanjabil dan air dari Salsabila serta arak yang tidak memabukkan yang dipanggil Syaraban Thahura.

Kemuncak kepada nikmat disyurga adalah semua ahli-ahli syurga akan dikumpulkan didalam satu dewan yang seluas mata memandang. Semua jannati dari zaman Adam a.s sehinggalah manusia yang terakhir dimasukkan kedalam syurga akan berkumpul untuk mengadap Allahu Azza Wa Jalla. Allahu Subhanahu wa Taala akan membuka hijabNya dan seluruh ahli syurga akan dinampakkan Wajjah Allah swt dan semuanya akan kagum dan terfana dengan kehebatan Nur Ilahi yang tidak dapat dibayangkan oleh akal fikiran kita yang amat cetek ini. Allahu Akbar.

Semua jannati akan merasakan satu nikmat yang belum pernah mereka rasai walaupun sudah lama berada didalam syurga yang penuh dengan segala kenikmatan. Melihat Wajjah Allah yang dicintai adalah nikmat yang agung dan mereka merasakan inilah kemuncak kepada segala nikmat itu.

Allah swt akan membuat satu pengumuman atau pengistiharan kepada seluruh ahli syurga. Pengumuman yang telah dinanti-nanti dan dirindui sekian lama. Allah swt akan mengumumkan yang Dia telah REDHA dengan semua ahli syurga dan semua ahli syurga akan kekal selama-lama didalam syurga itu. Cinta dan redha Allah – itulah kemuncak kepada segala ganjaran dan kenikmatan hakiki untuk mereka yang beriman dan bertaqwa.

Cinta Ilahi Nikmat Teragung & Abadi (CINTA).

Tiada ulasan: